BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Sunday, August 23, 2009

Ramadhan (1): Beluku' Mutiara Naga

Hiasan: Subhanallah... Laut China Selatan waktu senja (diambil semasa penerbangan Kuching-Miri pada 30 Mei 2008)


Ramadhan, 1997
Kampung Pengkalan,
Lutong, Miri


Udah gik ya. Apa ndak dibaca kitak ya (Sudah lagi. Apa yang awak baca)?” tegur Ngah kepada seorang budak gempal. Umurnya 11 tahun. Di tanggannya ada senaskah bacaan yang disukanya. Naskah yang akan membuatnya khayal ke dalam dunia fantasi, iaitu Dunia Mutiara Naga. Juga, dunia Son Goku dan rakan-rakan yang memukau perhatiannya.

Ngah bertambah hairan budak itu tidak berganjak. Ia masih duduk di kerusi yang empuk. Ngah bersuara lagi, “Udah gik. Tulong beridang gik (Sudah lagi. Mari tolong hidang).”

Kedengaran gesekan-gesekan kaki dari tingkat atas, “Hadoh, Nek Aji* turun (Alamak, Nek Aji mahu turun).” Lantas budak itu bangkit dan menolong Ngahnya.

Kadang-kadang ia menjeling-jeling ke bilik Usu Shahril. Keluar pula sepupunya Bang Zharif. Keningnya bertemu, katanya dalam hati, “Nya rilek ajak (Dia rehat-rehat sahaja).”



Nek Aji duduk di meja. Ia duduk diam. Sambil di mulutnya terkumat-kamit meruntun kalimah-kalimah zikir. Sekali-sekala ia menegur kepada yang berada di dapur (juga ruang makan) supaya tidak tertinggal nanti ketika berbuka.

Ujar Nek Aji, “Kurma, ney (Mana kurma)?” lalu seorang cucunya mengambil daripada peti sejuk.

Zarip, bukak radio nun. Dah mok bang tok (Zharif, buka radio. Masa azan hampir tiba).”

Suasana dapur agak sibuk. Kwang-kwit (berulang-alik) warga dapur bersiap menghadap juadah berbuka. Pinggan, nasi, lauk, manisan dihidangkan di atas meja. Cucu-cucunya yang menjadi penyejuk hatinya membawakan keperluan-keperluan tersebut. Acapkali ia menegur cucunya, dengan nada yang tegas tetapi penuh kasih sayang.

Iboh deras gilak. Jalan pelan-pelan. Licin di sia (Jangan tergesa-gesa. Jalan perlahan-lahan. Di sana licin).” Tegurnya kepada cucunya yang membawa pinggan kaca. Pinggan yang dianggap ‘berbahaya’ kepada di matanya kerana mudah pecah dan berat pula.

Bah. Sik lamak lagik ya. Dudok lagik torang (Mari. Tidak lama lagi (azan). Duduklah lagi),” seru Nek Aji. Hanya beberapa minit sahaja lagi azan kedengaran. Bersama juga Usu Shahril dan Bang Zharif duduk tidak jauh. Nek Latah* yang begitu berusia itu bersungguh-sungguh untuk duduk di kerusinya. Anggota badannya menggeletar apabila memegang gagang kerusi. Matanya sudah rabun dan pendengarannya juga sudah tidak peka mendengar lagi. ‘Nek Latah’ menjadi gelarannya kerana apabila disakat, beliau akan berlatah tanpa kesudahan.

Tiba-tiba Usu Shahril (adik bongsu antara adik beradik Ibu) seorang yang suka menyakat. Namun antara kesemua adik-beradiknya, tidak dapat mengalahkan Ibuku, kakaknya. Tetapi Ibuku pula, tidak dapat mengalahkan kemahiran menyakat daripada Ayahanda mereka, Nek Aji.



Usu pun membuka ceritanya, “Ya lah Nek Latah torang tok dolok.”

Semua orang menumpukan perhatian mereka. Tetapi budak 11 tahun itu mendengar seadanya. Kerja-kerja telah selesai. Makanan telahpun terhidang. Komik Mutiara Naga kembali melekat di tangannya bak magnet dan besi berani. Sambil ia membaca, sambil-sambil itu ia mendengar.

Aku molah kedak mena-mena nyuap nasik sebelum sungkei. Kakya kedak nuntum aek (Saya olok-olok menyuap nasi sebelum waktu berbuka masuk. Selepas itu, buat-buat minum air).”

Sambungnya lagi, “Lalu nya (Nek Latah) mena-mena makan. Aku dah sik dapat stop lagik (Kemudian, dia serta-merta makan. Saya tidak sempat berhentikan dia lagi).” Kesunyian menunggu azan di radio terpecah jua.

“Usu torang ya, nang (Usu awak semua, memang begitu).”Namun gelak ketawa itu tidak didengari, bahkan difahami oleh Nek Latah.

Hanya beberapa minit sahaja lagi. Budak itu masih membaca Mutiara Naga. Lantas, Nek Aji menegur, “Udah gik ya. Dah mok makan tok (Sudah lagi. Waktu makan sudah dekat).”

“Aok Nek (Ya, Nek).”

Minit-minit itu hampir tiba. Matanya, perhatian budak itu tertumpah kepada Mutiara Naga. Ia merasa seperti Son Goku berlawan dengan Ten Shin Han di Pertandingan Kungfu Antarabangsa yang kedua. Matanya masih terlekat. Di hadapannya ada segelas air badung. Digarapnya dan terus sahaja mengalir deras arus bandung itu membasahi tekaknya.



Tiba-tiba Usu berkata dengan suara lantang, “Aih, apahal kau minum (Aih, (dia) minum)!”

Eh, udah masok waktu ka (Eh, waktu sudah masuk)?”

Ney ada. Belom azan lagik. Adak ko ndengar bang radio? Ya lah kau khayal (Mana ada. Belum lagi azan. Ada awak dengar azan radio tadi. Itulah awak, berkhayal).” Kata Usu dengan wajah yang mengujakan. Matanya terbeliak.

Ngah sudah bising. Bang Zharif pula sudah ketawa terdekah-dekah. Nek Latah pula tidak tahu-menahu apakah yang berlaku. Nek Aji sudah marah-marah. Nek Yot pula terpinga-pinga membawa lauk ke meja makan.

Kata Usu lagi, dengan nada mengejek sambil menuding jarinya, “Udah udah udah.... batal posa kau (Puasa awak batal).”

Kata budak dalam budak itu dalam hati, “Waaaaaaaa, tidak... tidak... tidaaaak!”



Hatinya geram. Usu menyakat tanpa henti. Bang Zharif pula tidak berhenti ketawa. Nek Aji menggeleng-gelengkan kepala. Si Budak berlari ke dalam tandas.

Ia menangis sendirian. Nek Aji pula memarahi Usu dan Bang Zharif, “Udah gik ya. Udah bang ya (Sudah lagi. Sudah azan).”



“Rasa mok nangis jak. Rasa mok Kame Hame Ha jak ngan Usu ngan Bang Zarip. Mbak beluku’ na Mutiara Naga tok! (Rasa mahu menangis sahaja. Rasa mahu keluarkan kuasa Kame Hame Ha sahaja kepada Usu dan Bang Zharif. Ini semua sebab Mutiara Naga)!”

MORAL: Jangan mbak beluku’ k dirik

Glosari:
Beluku’: Angkara; kebiasaannya sesuatu yang tidak baik
Idang: Hidang
Kedak: Seperti
Mbak: Bawa
Ney: Mana
Nuntum: Meneguk
Nun/Sinun: Di sana
Sitok: Di sini
Torang: Kamu semua
Udah: Sudah


*Mari kita sedekahkan al-Fatihah buat Nek Aji dan Nek Latah. Semoga Allah mencucuri rahmat atas roh-roh mereka dan meletakkan bersama-sama orang-orang yang soleh. Sebak juga menulis cerita ini, mengenangkan detik-detik indah bersama mereka. Amiin. (T.T)


Selamat Berpuasa di bulan Ramadhan 1430H; dan berharapan agar awal Ramadhan ini rahmat bagi kita, pertengahan pengampunan bagi kita dan akhirnya, pelepasan daripada api neraka...


Berjasa Kepada Masyarakat

Thursday, August 20, 2009

Belakang Tabir: Khas Sempena Ulangtahun Pertama Galaksi Muhsinin

Segala puji bagi Allah, mudah-mudahan kita akan disampaikan kepada satu Ramadhan lagi. Mudah-mudahan juga Allah membuka hati kita kepada-Nya bertitik tolak di bulan yang mulia ini. Alhamdulillah, mengenangkan Ramadhan, pasti saya tidak lupa novel sains fiksyen pertama saya Galaksi Muhsinin telah diterbitkan pada Ramadhan 1429H. Meskipun terlewat beberapa bulan, namun saya merasakan hikmah yang cukup besar apabila penerbitan Galaksi Muhsinin muncul pada awal bulan yang berkat, Ramadhan yang lepas. Bersempena ulangtahun Galaksi Muhsinin yang pertama, saya ketengahkan ‘belakang tabir’ Galaksi Muhsinin dalam entri ini.


Ikuti lanjut di Saifai Islami, di pautan ini.

Sunday, August 16, 2009

Jadual Kuliah Tafaqquh Fid Deen Ramadhan bersama Syeikh Fuad



NOTA: Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki merupakan Penasihat Yaysan Sofa Negeri Sembilan, Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan dan juga Nazir Masjid Taman TAR Ampang. Beliau merupakan anak murid kepada Syeikh Syed Muhammad Alawi al-Maliki, seorang ulamak besar Mekah (wafat pada 2004).


Berjasa Kepada Masyarakat

Friday, August 14, 2009

Jemputan ke Majlis Ilmu

Kuala Lumpur

Majlis bersama Syeikh Syed Ali Abd Majid

Tarikh: 14 Ogos 2009 (Jumaat)
Tempat: Masjid Taman TAR (Ampang)
Masa : Selepas Maghrib
Anjuran: Masjid Taman TAR dan Yaysasan Sofa KL

NOTA: Syeikh Syed Ali Abd Majid merupakan mantan Pengarah Maahad Qiraat Shobra. Kini beliau adalah salah seorang penyemak al-Quran al-Azhar. Beliau pernah menjadi mudir di Maahad Tahfiz Madinah.


Ceramah oleh Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki



Jemputan ke pengajian di BA'ALAWI,KL

15 Ogos 2009
~ Kitab Muktasar Abi Jamrah bersama Syed Ibrahim Ben Yahya Mulai Maghrib

16 Ogos 2009
~Kitab Shamail Muhamamdiah bersama Syed Ibrahim Ben Yahya Mulai jam 10.00 pagi

16 Ogos 2009
~ Syarah kitab bekalan hari akhirat bersama Ust Fahmi Zam Zam Mulai Maghrib.

Sumber: http://majlisilmu.blogspot.com/


Di Kuching:

Kuliah Subuh oleh Ustaz Hasfa Bakry & Solat Hajat

Tarikh: 15 Ogos 2009 (Sabtu)
Tempat: Masjid Ikhwanul Muslimin, Taman SUKMA, Kuching
Masa : Subuh (tanyak urang Kuching)

NOTA: Ustaz Hasfa Bakry merupakan pegawai JAKIM di Pusat Latihan Sarawak, Telaga Air, Kuching. Beliau adalah Yang DiPertua Angkatan Belia Islam (ABIM) Sarawak.


Berjasa Kepada Masyarakat

Thursday, August 6, 2009

KBS 4: Melentur Budi, Melakar Kasih Sayang



Sedikit imbasan mengenai KBS 4, anjuran PERKEPISMA (caw. Semenanjung) pada 31 Julai sehingga 2 Ogos 2009 yang lepas di Kem Herba, Sg. Congkak Hulu Langat. Ikuti di pautan ini.

Terima kasih buat sahabat-sahabat peserta yang sudi untuk bertandang menyertai program ini. Tahniah buat semua sahabat-sahabat yang telah bertungkus-lumus untuk menjayakan program ini. Terima kasih buat individu yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung. Moga-moga usaha kita ini dipandang oleh Allah dan dikira sebagai sebahagian daripada sekelumit amalan soleh kita amiin...

Antara individu 'belakang tabir' yang telah menjadikan program ini berjalan lancar (dengan izin Allah jua):

Yang DiPertua PERKEPIS, Bg Krol

Saudara Hisyam, Pengarah KBS4

Saudara Ahmad Safiuddin, Ketua Fasilitator

Saudara Syazwan, Zharif & Yusufi

Saudara Azizan & Ahmad Ritaudeen

Saudara Yusufi

Saudara Nu'aim

Serikandi-serikandi

Kak Mizah & saudari Siti Raufa bersama-sama muslimat yang lain


NOTA: Tidak 'tertangkap' gambar: Azam & Eda (sori eh... lain kali posing depan kamera... hehehe)

Berjasa Kepada Masyarakat

Wednesday, August 5, 2009

[SI] Old Republic: Cerita Latar STARWARS



Selama lebih daripada 300 tahun kami bersedia dan menunggu. Akhirnya... kami telah kembali!
~Darth Angral, Sacking of Coruscant, 3681 BBY


Trilogi STARWARS merupakan sebuah legasi sains fiksyen yang telah bertahan lebih daripada 30 tahun. Sehingga kini, STARWARS masih lagi evergreen, masih diterima bahkan memukau peminat merentas segenap lapis umur. Apakah rahsianya?

Salah satu yang menjadikan STARWARS begitu stabil sehingga hari ini ialah trilogi ini mempunyai asas yang kukuh, mudah dan boleh diterima oleh pelbagai lapisan umur. Asas ini berkembang serta bertambah stabil melalui cerita latar. Cerita latar merujuk kepada cerita-cerita tambahan yang menyokong kepada jalan cerita asal trilogi klasik STARWARS yang merangkumi Episod I sehingga Episod VI. Cerita-cerita ini akan membawa peminat untuk mengetahui asal-usul konflik berlaku yang menjawab persoalan-persoalan dalam cerita asal.

Saifaiislami meninjau secara ringkas kekuatan cerita latar STARWARS yang dirungkai melalui game terbaru Lucas Arts dan BIOWARE, iaitu STARWARS: Old Republic, 3681 BBY (3681 tahun sebelum Pertempuran Yavin IV).

Ikuti lanjut di pautan saifaiislami di pautan ini.

Memandaikan Bangsa Dengan Buku

Berjasa Kepada Masyrarakat

Wednesday, July 29, 2009

Ujian Buat Kita



Berita mengenai sebuah lagi IPT negara menarik perhatian saya. Universiti Pendidikan Sultan Idris, UPSI telah menambahkan bilangan kampus yang telah dikuarantin, antaranya ialah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), UiTM (Universiti Teknologi Mara Malaysia) kampus Melaka, Shah Alam dan lain-lain. Jika langkah-langkah berjaga-jaga kurang diambil perhatian, mungkin juga kampus Taman Budi dan Ilmu ini juga akan mengalami nasib yang sama. Hanya kepada Allah kita bermohon dan berserah agar dijauhi daripada wabak tersebut. Semoga Allah memberi kemudahan dan kesabaran kepada orang-orang yang telah terkena ‘tempias’ wabak tersebut.

Berita tersebut telah menandakan bahawa wabak tersebut kian merebak. Wabak H1N1 ataupun virus selesema babi mudah tersebar dan merebak melalui medium udara. Maklumat langkah-langkah pencegahan dan poster di tempat awam serta di media massa mencerminkan kebimbangan masyarakat terhadap wabak ini. Walaubagaimanapun, yang lebih dibimbangkan ialah bagaimana wabak ini menjadi cabaran dan ujian buat aktivis-aktivis dakwah, terutama cabaran untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat dan berinteraksi bersama sasaran dakwah (mad’u). Perlu diambil kira juga, kesihatan diri kerana keadaan cuaca yang terlalu panas ataupun terlalu sejuk dewasa ini mendedahkan kepada risiko untuk menjadi demam, batuk-batuk dan selesema; yang merupakan simptom-simptom wabak. Apa pun, urusan kita, diserahkan sepenuhnya kepada Allah. Kepada-Nya kita sandarkan kekuatan dan pertolongan.



Wabak ataupun penyakit merupakan perkara yang manusia mahu lari selama-lamanya. Terkadang menghairankan, awalnya manusia mendabik dada akan kekuatan, kepandaian, kekuasaan, kekayaan, kecantikan dan segala nikmat yang dikurniakan kepada mereka. Tetapi mereka menjadi lemah dan kecut apabila ancaman makhluk seni menghampiri. Demi menyelamatkan satu nyawa, manusia sanggup membelanjakan berjuta-juta wang ringgit untuk menghapuskan makhluk bernama virus dan bakteria yang berjuta-juta lebih kerdil daripada jasad mereka sendiri. Betapa pandainya manusia yang mempunyai bergulung-gulung ijazah dan mempunyai teknologi yang canggih, misteri penyakit ini masih tidak mampu dirungkai.

Namun demikian, sebagai seorang Islam, kita harus melihat dari sudut yang positif. Kita harus bersangka baik bahawa wabak dan bala merupakan hikmah daripada Allah dan memandang tujuan baik di sebalik kejadian ini. Mengapa? Kerana wabak dan bala merupakan peringatan buat kita yang serba kekurangan ini yang secara hakikatnya telah jauh daripada-Nya. Allah menegur hamba-hamba-Nya agar kembali kepada-Nya, dengan hikmah ini moga-moga manusia kembali kepada kebenaran. Semoga dengan ini juga, semoga manusia kembali ke pangkal jalan dan mengikuti syariat (ajaran, peraturan) Allah. Juga, semoga manusia apabila ditimpakan dengan kesusahan ini, mereka menjadi insaf, kerana tujuan ujian-ujian adalah untuk menginsafkan diri mereka.

Manusia harus sedar, bahawa bukanlah Allah yang menzalimi manusia, tetapi kita telah menzalimi diri kita sendiri. Segala kerosakan dan bencana adalah kerana perbuatan kita sendiri di darat dan lautan seperti termaktub dalam Surah ar-Ruum, ayat 41.

Ulamak tafsir menghuraikan bahawa kerosakan (kefasadan) di daratan seperti dalam ayat tersebut. Mereka memaksudkan bahawa kerosakan pertama yang dilakukan oleh manusia ialah daripada peristiwa Habil dan Qabil. Pada awalnya, dunia ini wujud dengan penuh kemakmuran. Buahnya dapat dimakan dan dimanfaatkan untuk manusia. Tambahan lagi, buah-buahan tidak sukar dimakan kerana tidak berduri. Tetapi setelah Qabil menggerakkan tangannya membunuh saudaranya Habil, maka pohon-pohon kayu tidak lagi berbuah dan haiwan memakan sebahagian haiwan yang lain.



Kerosakan di lautan yang pertama ialah perbuatan yang dilakukan oleh seorang raja; moyang kepada seorang pemerintah yang zalim, iaitu Hajjaj Yusuf as-Saqafi. Pada mulanya, kewujudan air laut tidak masin dan boleh diminum. Namun setelah kemungkaran oleh raja tersebut, Allah menjadikan lautan menjadi masin dan tidak dapat diminum. Dek kerana perbuatan mereka, Allah telah menukarkan hakikat-hakikat tersebut menjadi sesuatu yang menjadi bencana kepada diri mereka sendiri.

Betapa banyak orang-orang yang diberikan nikmat, tetapi nikmat tersebut telah digunakan untuk membuat maksiat. Tidak hairanlah, Allah akan tarik nikmat tersebut, moga-moga akan insaf semula. Oleh yang demikian, amat wajarlah manusia menjalani kehidupannya seperti sifatnya yang mulia mentadbir alam yang selari dengan panduan diberikan Tuhan. Melakukan sesuka hati kerana kepentingan diri sendiri akan mengganggu keseimbangan masyarakat dan alam. Akhirnya, bencana itu akan berbalik kepada mereka sendiri.



Dalam kebimbangan mendepani wabak dan bala di sekeliling kita, maka ingin dikongsikan beberapa amalan yang boleh kita jadikan sebagai pendinding diri. Panduan tersebut boleh kita ambil daripada sebuah kitab yang kecil tetapi mengandungi rahsia yang besar; iaitu kitab Amalan Menolak Wabak dan Bala yang telah disusun oleh Syeikh Yusuf ibn Ismail al-Nabhani. Beliau merupakan seorang ulamak dari Beirut yang bersungguh-sungguh berpegang dan mempertahankan Ahli Sunnah wal Jamaah. Syeikh Yusuf telah dihantar oleh ayahandanya ke Universiti al-Azhar ketika berumur 17 tahun dan telah berguru dengan ramai ulamak besar. Beliau telah wafat pada 1929.

Kitab tersebut telah diterjemahkan dan dikeluarkan oleh Tn. Guru Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki yang juga merupakan penasihat kepada Yayasan Sofa Negeri Sembilan. Sebelum kita kongsikan amalan-amalan tersebut, amat molek jika kita dapatkan pendahuluan daripada ulamak tersebut:
“Di dalam buku ini, saya telah memaparkan beberapa amalan yang telah dilakukan oleh mereka (para ulamak) dan didapati mujarab sebagaimana yang dirakamkan di dalam kitab Sa’adah al Darain fi al Solah ‘ala Sayyid al Kaunain sallallahu alaihi wasallam. Walaupun ada di antara wabak penyakit atau bala yang ada pada hari ini, tidak ada pada zaman dahulu, amalan ini boleh dilakukan bagi mengatasi masalah tersebut kerana tujuannya adalah sama untuk memohon perlindungan, penjagaan dan kesejahteraan daripada Allah.”




Antara amalan yang boleh kita lakukan:

1.Membaca ayat 128 dan 129 Surah at-Taubah (Surah ke-9) sebanyak 7 kali setiap kali selesai solat fardhu.
2.Membaca doa qunut
3.Mengamalkan (melafazkan) ayat Surah al-Najm (Surah ke- ) ayat 58, ayat at-Thalaq (Surah ke-65), ayat 137 Surah al-Baqarah (Surah kedua)
4.Diriwayatkan daripada sebahagian ulamak bahawa antara amalan yang paling besar untuk menolak taun dan bala-bala besar ialah dengan berselawat atas Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.
5.Sentiasa dalam keadaan wudhu’



Dinasihatkan bahawa amalan-amalan ini kita lakukan mengikut kemampuan kita. Dan kita bersangka baik kepada ulamak tersebut yang menyusun amalan berlandaskan kepada ilmu mereka yang bersandarkan kepada dalil daripada Quran dan Hadith.
Moga-moga dengan kesungguhan kembalinya kita kepada Allah, akan menghilangkan kebimbangan dan kepayahan menghadapi wabak dan bencana ini. Semuanya tidak mustahil dengan kekuasaan Allah. Tiada daya (untuk melakukan ketaatan) dan kekuatan (untuk menjauhi maksiat) melainkan dengan kekuatan Allah. Daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita kembali. Allah Maha Mengetahui.


Berjasa Kepada Masyarakat


NOTA: Isi entri ini adalah daripada nota syarahan Syeikh Fuad di Surau Darul Iman, Kemensah sebelum pengijazahan sanad kitab kepada hadirin pada Jun 2009. Terlebih dahulu mohon maaf andai terdapat kesalahan dalam menyampaikan maksud. Andai terdapat kesilapan, itu adalah berbalik kepada kelemahan saya.

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...