BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Wednesday, March 16, 2011

::KUCHING BERSELAWAT:: Tetamu Dirindu Jejakkan Kaki di Kuching


Ketibaan Fadhilatul Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki telah lama dinanti. Ketibaan beliau telah disambut oleh warga penggerak program Kuching Berselawat yang terdiri daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak, Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) dan Madrasah al-Khairat.

Diri ini begitu rindu ingin bertemu beliau. Sekian lama jarang berkunjung di Kuala Lumpur, selama itulah jarangnya diri mengikuti majlis pengajian ilmu yang beliau anjurkan di sana.

Terimbau kembali saat-saat diri masih bergelar penuntut, cuba memburu setiap majlis beliau. Setiap mesej sms daripada Yayasan Sofa begitu dinanti, apakah majlis yang seterusnya akan diadakan.

Lebih-lebih lagi, sudah lama berada di tanah air kini, begitu merindui sentuhan ruhani beliau seperti mana yang pernah dirasai suatu ketika dahulu. Apa yang pasti, apabila berada dalam majlis beliau, kita akan merasakan berbunganya hati kita mengingati dan menyayangi Rasul Agung, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Tidak lekang di bibir beliau mengungkapkan puji-pujian dan pengagungan beliau terhadap peribadi Rasulullah sallallahu alaihi wasallam yang mulia.

Program Kuching Berselawat, yang merupakan rentetan kepada Malam Penghargaan Rasulallah sallallahu alaihi wasallam bakal diisi oleh beliau. Kuching Berselawat akan diadakan pada 18 Mac 2011 ini, Jumaat bertempat di Waterfront Square, Kuching Waterfront.

Program ini bermula pada 3.00 petang, diisi dengan persembahan-persembahan Mawlid, Qosidah dan Nasyid oleh tetamu jemputan daripada kumpulan almawlid (terdiri daripada bekas kumpulan Ruffedge, VE dan Innuendo), al-Marjan dan kumpulan tempatan iaitu Hawary, INTRACK, Heavenly Ensemble dan Madrasah al-Khairat. Kuching Berselawat bertujuan untuk menyebarkan, memperkenalkan peribadi unggul Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam serta budaya berselawat sebagai tanda penghargaan kita terhadap Rasulullah sallahu alaihi wasallam.




Syeikh Fuad yang juga merupakan penasihat utama Yayasan Sofa merupakan seorang ulama muda yang giat mengajarkan majlis ilmu. Beliau juga telah mengarang lebih 300 kitab dalam Bahasa Arab dan Bahasa Melayu. Beliau juga menterjemahkan kitab-kitab daripada guru beliau, Syeikh Syed Muhammad bin Alawi al-Maliki al-Hasani, yang merupakan ulama Mekah yang telah lahir ribuan ulama di tangannya.





Kerinduan terhadap Tuan Guru Syeikh Fuad telah terubat jua, apabila lensa mata ini dapat melihat beliau di hadapan mata keluar daripada balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Semoga kehadiran beliau sebagai seorang ulama muda yang gigih mempertahankan Ahli Sunnah wal Jamaah menambahkan lagi keberkatan dan kekutatan semangat dakwah untuk terus istiqamah untuk terus di landasan dakwah yang membawa kita berjalan menuju Allah, Tuhan Semesta Alam.


"Menuju Mahabbah Rasulullah sallallahu alaihi wasallam"

"Berjasa Kepada Masyarakat"

No comments:

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...