BLOG Fiksyen Sains Islami

BLOG Fiksyen Sains Islami
Blog penulis tentang fiksyen sains

Monday, April 7, 2008

Teman di Kala Malam



“Jalan baik-baik. Insya-Allah jumpa lagi semester hadapan. Assalamulaikum,” itulah lafaz terakhir terucap sebelum perpisahan oleh dua sahabat di stesen LRT Putra Masjid Jamek. Tinggallah insan terfikir-fikir, siapakah teman bagi dirinya di kala malam. Kadang-kadang ia risau, adakah cukup kudrat yang ada pada tubuhnya untuk sampai ke terminal kargo kos rendah (LCCT). Perjalanan agak jauh. Tangan ada dua. Barang ada empat. Setiapnya satunya bak bertan-tan beratnya. Jika tadi dibantu oleh sahabat-sahabat. Kini seorang diri.

Tren meluncur dengan laju. Meredah malam, mungkin tren ini tiada menjejas kesibukan penghuni rimba batu ibu kota negara. Wajah si perantau terpantul pada kaca tempat duduk di hadapan. Jelas sekali tren begitu lengang. Sehinggakan wajah pantulan sendiri pun terperasan juga.

“Stesen seterusnya, KL Sentral,” umum tren. Tren beransur perlahan. Si perantau lantas bersedia. Beg laptop di sisi digalas ke belakang badan. Kotak dipegang rapi. Bungkusan dicapai bersama beg bagasi. Pintu tren terbuka.

“Ya Allah!” jerit hatinya. Tuhan sahaja yang tahu. Jika tadi kekuatan bisa disokong oleh teman-teman, kini kesemua barang itu diangkatnya sendiri. Kalau tiap satunya sudah berat. Bayangkan pula, bagaimanakah paduan berat semuanya?
Si perantau bergegas ke bahagian luar KL Sentral. “Barang berat, bolehlah gunakan lif,” ujar hatinya.

Melepasi gerai aiskrim McDonald (yang si perantau selamanya boikot!), “Ya Allah,” keluhnya sekali lagi. “Lif sedang dibaiki,” begitulah tanda pada pintu lif. Si perantau memikirkan, bagaimanakah azabnya untuk turun tangga yang sempit lagi curam dengan berat beg galas, sebuah kotak, sebuah bungkusan dan beg bagasi bak berpikul-pikul?

“Azabnya hanya sekejap,” pujuk dirinya. “Selepas ini bolehlah duduk dalam bas.”
Maka ia pun menuruni tangga itu dengan penuh azab. “Ya Allah, ya Allah. Janganlah tangan ini putus!” satu persatu tangga dituruninya.

“Sikit lagi, sikit lagi,” ia terhenti sekejap. Ditolehnya ke atas. “Tidak ada orang. Boleh rehat sekejap.” Katanya tercungap-cungap.

“Mahu ke LCCT atau KLIA?” tanya seorang mamak. Jawapan itu menandakan tanda kejayaan baginya menempuh azab yang dahsyat.

“LCC, LCC, LCCT!” akhirnya ia mampu menjawab. Disentaknya dasar beg bagasi. Lalu ia menarik beg itu segera dan diletakkan di dalam bas. “Lega!” satu beban sudah terlepas. Diangkatnya kesemua barangnya ke atas.

“Tiket dah beli?” tanya seorang gadis, fikirnya.

“Belum.” Lantas tiket dibayar dan terus ia mencari tempat duduk di belakang. Segala barang diuruskan. Kotak buku diletakkan di kerusi sebelah. Namun, satu kejanggalan segera menyergah dirinya, “Siapakah yang menjadi teman perjalananku?” desisnya.

“Meredah malam seorang?”

“Tidur?”

“Masalahnya aku tidak suka tidur semasa perjalanan.” Ia teringatkan pesan gurunya semasa Tahun Lima di SRK Kampung Luak, Miri; Cikgu Abdul Rahman namanya. “Sesiapa yang tidur ketika dalam perjalanan ke satu destinasi, maka ia telah kerugian. Kerana alam terbentang baginya, dan ia tidak mahu melihat alam yang indah itu.”

“Ya, kerana pesanmu guru, aku jarang sekali tidur di kala musafir. Rugi rasanya tidak mengamati kebesaran Tuhan.”

Namun persoalan berlegar kembali, “Siapakah yang menemaniku di kala perjalanan malam ini?” Kerana biasanya si perantau sentiasa ada temannya menaiki bas sekembalinya ke tanah air tercinta. Tetapi kali ini berbeza sekali. Kejanggalan itu begitu ketara. Membuatkan fikiran kosong, mulut terkunci. Mata enggan berlabuh menutupi tirai pandangan. Bas mula bergerak perlahan dalam lingkungan 10.30 malam waktu Malaysia. Lampu siling bas ditutup sepenuhnya. Kegelapan menguasai cahaya. Hanyasanya cahaya lampu menembusi kaca lutsinar sahaja menerobos.

“Kalau baca buku, gelap sangat,” keluhnya. Baru tadi sahaja ia bertemasya di Pesta Buku Antarabangsa 2008 di PWTC, bersama-sama teman-teman seperjuangan di medan penulisan. “Siapakah yang menjadi temanku?” soalnya lagi. Bas masih meluncur perlahan. Lampu isyarat di hadapan hijau. Bas membelok keluar simpang ke jalan besar. Maka perjalanan lebih jauh meredah laluan sibuk ibu kota.

“Ah, tidak ada.”

Ia terfikir, ia mahu adiknya di rumah ‘menemaninya’ di dunia maya sms. “Mungkinkah adikku? Tapi malam sudah lanjut. Tentunya ia sudah tidur. Teman lain?”

“Mungkin juga berdepan dengan perkara yang sama, iaitu mungkin sudah berada di dunia mimpi. Siapakah yang menemaniku?” jerit hatinya.

Persoalan tetap gagal dijawab. Bas meluncur laju menyelusuri lebuhraya. Sekali-sekala ia bergerak lurus, kadang-kadang ia membelok selekoh. Adakalanya terasa melonjak bas kerana permukaan jalan tidak rata.

“Alangkah baiknya sekiranya perjalanan kamu semua dibaca al-Qur’an.” Pesan itu menjelma. Pesan yang seringkali dilupa, tetapi ajaibnya diingat ketika saat memerlukan. Pesan seorang abang yang prihatin sebelum perjalanan sekumpulan anak muda ke satu muktamar di Skudai, Johor bermula. Ia ingat, ia mengangguk-angguk tanda sanggup.

Ia teringat lagi. Seorang ilmuan universitinya pernah mengungkap sabda Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam, bahawa setiap zarah yang mendengar zikir yang dilafazkan oleh seseorang akan menjadi saksi baginya di akhirat baginya kelak.

“Satu jirim ada berapa zarah? Satu mol ada 6x10²³ zarah. Satu jirim ada berapa mol? Tidak terkira banyaknya, kalau dihitung dari segi kiraan logik manusia...” Desisnya lagi, “Ya Allah, alangkah untungnya sebegitu pada saat segala amalan tidak akan diterima lagi.”

“Manusia lahir ke dunia sendirian. Begitu juga ia akan datang kepada Tuhannya sendirian juga. Manusia lahir dan mati. Manusia datang dan pergi. Manusia bertemu dan berpisah. Begitulah adat dunia. Satu masa, ia tetap bersendirian. Kalau begitu, alangkah deritanya di alam ini? Suatu masa akan bersendirian? Tidakkah mungkin ada teman berdampingan buat selama-lamanya?”

“Jika difikir guna batas akal kemampuan manusia, ya, tidak ada. Jadi, apakah makna hidup ini?”

“Jika diserah dan dituruti ajaran Rasul, teman selamanya berdampingan tidak mustahil ada.”

“Benar?” jiwanya berkecamuk.

“Ya. Al-Mulk teman di alam kubur. Ia cahaya baginya menemani tuan yang bermanja dengannya setiap malam. Ia akan melindungi tuannya pada hari kiamat kelak dan berhujah kepada Allah sehinggalah tuannya masuk syurga.” Kata suara hatinya.

“Ya Allah, itulah keuntungan yang paling berharga.”

“al-Baqarah dan ali-Imran menjadi cahaya kepada tuannya di Padang Masyhar. Ayat Kursi pelindung baginya di kala malam sehinggalah fajar menjelma. Al-Ikhlas merupakan sepertiga al-Quran. Al-Falaq melindungi daripada kejahatan malam. An-Nas begitu juga.”

“Ya Allah, ya Allah! Ya Tuhan yang membolak-balikkan hati. Engkau tetapkanlah hatiku untuk teguh kepada agamamu,” rintih si perantau.

Tiba-tiba dirasakan ia tidak bersendirian lagi. Teman manusia memang tidak ada. Kegelapan malam bukan. Cahaya lampu jalanan pun bukan. Bulan yang hilang di celah awan pun bukan. Bintang di langit apatah lagi. Ia bertemankan dengan teman-teman yang bisa menemaninya bukan sahaja di alam zahir ini, tetapi di alam kubur yang gelap dan juga pada hari pembalasan yang tidak berguna lagi amal yang soleh.

Maka tenggelamlah dirinya bermanja dengan temannya al-Mulk. Disusuli lagi dengan temannya al-Baqarah setengah juzuk. Padanya Tuhan berseru kepada taqwa dan menggempur sifat munafik yang keji. Kemudian dicabarnya orang-orang yang cuba mencemar kalamnya dengan laungan “Kamu berkumpullah seluruh jin dan manusia untuk membuat satu ayat (Quran) seumpama ini. Kamu sesekali tidak dapat.” Dia mengancam bahawa jin dan manusia akan menjadi bahan bakar api neraka selama-lamanya!

Kemudian Tuhan berbicara tentang ganjaran nikmat orang-orang yang soleh. Kemudian Ia berfirman dengan menyuruh kita manusia melihat seekor makhluknya dengan teliti dan saksama; iaitu nyamuk. Ia suruh lihat, lihat dan lihat! Kemudian diceritakan juga tentang penciptaan manusia; iaitu Nabi Adam dan kekasihnya Hawa dan kisah mereka dikeluarkan dari syurga. Kemudian Allah memalingkan manusia kepada memerhatikan tindak tanduk umat Nabi Musa alaihissalam, iaitu orang-orang Bani Israil, juga dianggap sebagai orang Yahudi. Kemudian, kemudian, kemudian dan kemudian... teman ditemani oleh teman yang tanpa jemu menemaninya...

“Syukur pada Allah,” bangunan LCCT dalam jangkauan matanya. Kelihatan juga samar-samar pesawat-pesawat gergasi bercorak merah berlabuh di sisi bangunan. Perjalanan bakal berakhir. Malam berlabuh beransur lanjut usianya. Syukur pada Tuhan, ia tiba tanpa berasa keseorangan...

8 comments:

Ilham Nur said...

Assalamua'laikum, sudah balik sarawak ye.

Azrul bin Jaini said...
This comment has been removed by the author.
Azrul bin Jaini said...

Alhamdulillah, sudah. Sekarang di Miri. insya-Allah besok mula perjalanan ke Kuching. Saya praktikal industri di sana, 2.5 bulan.

Semoga sentiasa istiqamah perjuangan. Wassalam

afidalina said...

assalamualaikum Azrul! cerita yg penuh dgn muhasabah diri.. best! selamat berpraktikal ye! selamat menempuhi 'alam kerja' yg sebenar! rasanya TM selalunya environmentnya sama je di mana2..=)

Ummu Fateh said...

Salam bg azrul...akhirnya... engkah tpt pake teriak..hehehe syabas!!

Azrul bin Jaini said...

-_-" pa ndak diteriak kamek Comel?

Jango Fett said...

salam...kdk lam blog kmk...shout out..engkah gak..x lelah taip lam komen...hihihi...x sbr jmpa ktk dibumi kenyalang...bumi kuching...ktk rekomen ngn kmk buku2 pasal penulisan..blh kmk improve penulisan kmk kdk ktk...=)

SignsOfGod said...

Alhamdulillah. Good writing. Smoga Allah mudahkan urusan dan limpahkan kesabaran untuk terus istiqamah di atas jalan-Nya.

Review: Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol

"Seandainya kamu mendengar bahawa Kaum Mongol telah dikalahkan, bersaksilah engkau bahawa orang itu berdusta!" ~Pepatah Arab kurun...