~Pepatah Arab kurun ke-13~
Suatu ketika pemikiran begini telah menjalar dan mengakar
dalam umat Islam. Tersebar pepatah yang mengerikan ini. Tiada sesiapa pun yang
percaya bangsa buas itu dapat dihentikan. Bermula sekitar 1220-an, bagaikan
wabak yang menjalar di semua tempat, umat manusia berdepan dengan penjarahan pantas
bangsa tidak terkalahkan buasnya: Mongol. Hingga dikatakan, umat Islam pada
ketika itu menyangka bahawa Kiamat sudah dekat dengan datangnya kaum Yakjuj dan
Makjuj[1].
Buku Bangkit dan Runtuh Bangsa Mongol[2] karangan Prof. Dr. Ali Muhammad Shallabi[3] ini telah lebih setahun lalu diidamkan. Sewaktu lawatan ke Masjid Temerloh Jaya[4] pada Februari 2020, diharapkan dalam perancangan untuk sempat singgah ke Kuala Lumpur dan membawa buku ini ke Miri. Namun takdirnya jadual perjalanan berubah dengan mendadak, apakan daya tidak berkesempatan membawanya pulang.
Buku seperti menatapnya memerlukan ketahanan dan hati. Beberapa kali telah cuba memilikinya, namun sebanyak itu juga dilepaskan. Masakan tidak, tajuknya sudah terbayang jiwa terkorban, darah mengalir memerahkan tanah dan sungai, puing-puing runtuh tamadun dan terbakarnya lembaran kitab. Di sebalik tinta terhimpun kedukaan dan kesengsaraan atas malapetaka mahadahsyat yang menimpa Kaum Muslimin beberapa abad lampau.
Mendirman Jaloliddin dan Buku
Ini
Jika saya membaca buku sejarah umat Islam, kebiasaannya saya akan ‘skip’ bab tentang penjarahan bangsa Mongol terutama pembantaian Bagdad tahun 1258. Terlalu pilu dengan kejadian tersebut. Kali terakhir saya membaca buku sejarah duka Mongol dan umat Islam adalah buku Hulagu: Khabar Hitam dari Timur[5] yang beberapa tahun lepas. Buku itu telah hilang dipinjam oleh seseorang dan tidak lagi saya hiraukan ke manakah perginya.
Namun munculnya drama siri
sejarah kerjasama Uzbek-Turki Mendirman
Jaloliddin (Namaku Jaloliddin)[6],
telah mencetus kembali dan menggugah kekuatan. Drama tersebut menggambarkan
suasana tegang yang melanda Daulah Dinasti Al-Khawarizmi pada abad ke-13,
sekitar 1219-20. Ketika itu wilayah kekuasaan seorang Khan segala Khan Mongol
yang agung, iaitu Jenghis Khan sudah pun berada di perbatasan Daulah.
Saya cuba mencari maklumat tentang daulah yang jarang didengar ini, tetapi tidak banyak yang diperkatakan dalam buku sejarah yang saya ada. Kebiasaannya jika disebut al-Khawarizmi, kita lebih tahu tentang ahli matematik yang agung menemukan algebra/aljabar iaitu al-Khawarizmi. Maka pembelian buku Prof. Ini tepat sekali. Banyak fakta yang disajikan tentang daulah ini.
Jalan cerita Mendirman Jaloliddin tidaklah semantap drama sejarah Turki yang lain, namun dipaparkan latar kisah dari aspek bentuk muka bumi, kota, bazaar, rumah, istana, pedagang, alim ulama dan masyarakatnya. Ini membantu memberikan gambaran yang baik dalam menghadam Bangkit dan Runtuh Bangsa Mongol.
Kuarantin!
Sehari selepas sampainya buku ini ke
tangan saya, saya mendapat panggilan daripada rakan bahawa kami telah menjadi kontak
rapat kepada seorang yang didapati positif Covid-19. Lantas segera saya mengkuarantinkan
diri di rumah. Satu sisi yang positif adalah, azam saya untuk mengkhatamkan
buku ini dan terlaksana pada minggu pertama kuarantin.
Kena
Tahan Hati
Seperti dinyatakan pada
awal karangan ini, membaca buku ini memerlukan ketahanan hati. Bagaimana tidak,
tamadun yang gagah berdiri selama beberapa abad telah runtuh. Tidak terkira
ramai umat Islam yang terkorban. Dan jutaan naskhah ilmu yang dihimpunan sejak
berabad-abad di kota Baghdad lenyap begitu sahaja. Hakikat yang pedih untuk
ditelan.
Buku yang tebal ini saya
kira sangat menarik. Banyak fakta dan iktibar yang boleh kita pelajari. Adakala
bulu tengkuk berdiri mengenangkan umat zaman ini. Jika dibuat perbandingan,
kita pada zaman ini persis seperti situasi umat pada zaman itu bahkan lebih
parah lagi. Jika gelombang itu datang lagi (minta Allah jauhkan), adakah kita bersedia
dan mampu menghadapinya?
Antara isi perhatian dalam buku ini:
Jenghis Khan dan Kaum Mongol
Membaca fakta-fakta tentang bangsa Mongol
dan apa yang terjadi kepada umat Islam zaman itu mengingatkan saya ungkapan di
atas yang pernah saya dengar oleh guru pada zaman sekolah menengah dahulu.
Sungguhpun kaum Mongol adalah gaum gasar (barbarian) yang tidak bertamadun, dan
tidak beriman pula namun mereka mempunyai disiplin yang tinggi, strategi
tersusun dan kecerdikan serta kewibawaan pemimpin seperti Jenghis Khan.
Berbeza dengan umat Islam, sungguhpun
mereka mempunyai ketamadunan yang membanggakan, dengan adanya kota-kota, kekayaan
melimpah ruah, cendiakawan, zaman itu mereka mengalami kelemahan. Kelemahan
itulah yang telah mengundang akibat pukulan maut yang membinasakan.
al-Khawarizmi:
Kisahnya Bermula
Daulah al-Khawarizmi bermula beberapa generasi sebelum itu. Daulah ini bangkit dengan cepat dan runtuh pun dengan cepat.[7] Pada era Jenghis Khan sudah berada di perbatasan daulah itu, Sultan Muhammad Alaudin memerintah wilayah yang luas itu. Kota-kota yang indah seperti kota Bukhara, Samarqand, Gurganj, Tirmiz padat dengan penduduk menjadi tumpuan di Jalan Sutera. Dan tumpuan itu juga mendapat tempat di mata Jenghis Khan.
Sultan Muhammad Alaudin al-Khawarizmi, drama sejarah Mendirman Jaloliddin |
Kisahnya bermula apabila satu kafilah dagang kaum Mongol yang diwakili oleh pedagang Muslim telah ditahan di kota perbatasan al-Khawarizmi, iaitu Utrar. Khabarnya gabenor tersebut telah merampas harta kafilah tersebut dan membunuh mereka kerana tamakkan harta. Gabenor itu menggunakan alasan mereka adalah mata-mata yang diutus oleh Jenghis Khan.
Jenghis Khan, drama sejarah Mendirman Jaloliddin |
Khan yang agung itu telah
menghantar tiga duta diplomat ke istana. Namun malangnya mereka juga telah
dibunuh. Ini adalah sesuatu yang menyalahi hukum antarabangsa zaman itu. Nyawa
duta tetap dipelihara walaupun daripada musuh. Membunuhnya atau
mengapa-apakannya adalah pengisytiharaan perang.
Ini merupakan kesempatan
yang ditunggu-tunggu oleh Jenghis Khan. Maka kota Utrar adalah kota pertama
yang dilanggarnya. Kota inilah kota pertama dalam sejarah Islam dijarah,
dihancurkan, penduduk dibunuh dengan kejam. Situasi sedih yang sama berlaku di
kota-kota lain seperti Bukhara dan Samarqand menyusul selepas itu sehinggalah
tragedi kota Baghdad hampir 30 tahun selepas itu.
Kelemahan Kaum Muslimin
Pengembara Ibnu Battutah[8]
yang melewati kawasan Transoxania kira-kira 100 tahun selepas kejatuhan
al-Khawarizmi Sultan Alaudin menyatakan bahawa Daulah tersebut mempunyai
tentera yang ramai. Namun kesilapan percaturan dan memandang rendah Mongol
sebagai gasar begitu yakin bahawa mereka tidak akan dapat menembusi benteng
kubu kota-kota. Kaum Mongol datang dengan membawa senjata pengepungan kubu
(siegecraft) yang canggih dibina oleh bijak pandai jurutera China.
Sultan Alaudin tidak menyahut seruan anaknya Raja Jaloliddin Mangburni untuk mengumpulkan tentera mereka yang besar dan mengalahkan tentera Mongol di medan perang. Sebaliknya baginda memecah-mecahkan pasukan tentera berkawal di sebalik kota-kota.[9] Percaturan padah ini tidak dapat menahan kemaraan kilat Mongol. Sultan yang sepatutnya menjadi tonggak negaranya menjadi panik dan lari dari kota ke kota, membiarkan rakyatnya sengsara.
Pasukan Mongol berusaha keras memburu
Sultan dan akhirnya baginda telah lari sehingga ke kubu di pulau Laut Kaspia.
Baginda meninggal dalam keadaan hina di sana, mewariskan harapan kepimpinan
kepada Raja Jaloliddin.
Ketika kota al-Khawarizmi tumbang satu
persatu dengan sadis sekali, sudah tentu khabar yang menggemparkan itu telah
tersebar ke seluruh pelosok dunia Islam. Khalifah dan sultan atau raja daulah
kecil mengetahui berita tersebut, tetapi tidak bersatu untuk menghantar
bantuan. Satu sebab adalah ketakutan terhadap kaum Mongol yang buas itu. Tiada
siapa yang berani menghadapinya.
Bahkan setelah tewasnya kota Baghdad, timbul penyesalan raja
dan sultan bahawa Sultan Jaloddin dan Daulah al-Khawarizmi adalah benteng
barisan hadapan umat Islam yang dahulunya didokong menghadapi kemaraan Mongol.
Penyesalan itu tiadalah berguna lagi.[12]
“Jika kamu tahu bahawa emas itu tidak bisa dimakan, lalu
mengapa kamu menyimpannya dan tidak membahagikannya kepada perajuritmu agar
mereka lebih semangat untuk menjaga kerajaanmu ini dari seragan pasukanku?”
~Hulagu
Khan, sebelum pembunuhan Khalifah Al-Musta’shim Billah, Khalifah Abasiyah Terakhir~
Kekhalifahan Bani Abasiyah terpuruk
ke lembah yang paling dalam. Kelemahan
bermaharajalela, persiapan tentera diabaikan. Adanya pengkhianatan dari dalam
daripada menteri berfahman Syiah dan kuncu-kuncunya, iaitu Menteri ibnu Alqami[13].
Gerombolan Hulagu Khan[14] telah bertolak dari Karakorum pada tahun 1253[15] dan telah singgah di kota-kota Transoxania di Asia Tengah dalam perjalanan. Kota Baghdad telah jatuh pada tahun 1258. Ini bermakna, perjalanan tersebut bersama tentera mengambil masa selama lima tahun! Ini adalah masa yang cukup lama dan mencukupi untuk Khalifah membuat persediaan.
Namun sebaliknya berlaku, sepertinya
Khalifah tidak endah dan tidak bersedia. Pergerakan gerombolan yang besar
berpuluh-ribu perajurit Mongol adalah mustahil untuk bersembunyi niatnya menuju
Kota Baghdad. Tindakan segera boleh diambil dengan menyatukan seluruh umat
Islam bawah panji Kekhalifahan. Namun khabar buruk dialpakan begitu sahaja
sehingga saat terlewat hanya menunggu malapetaka. Padahnya terlalu pahit ditelan, kekhalifahan
dan kota yang agung tergadai tersungkur begitu sahaja.[16]
Harapan
Terakhir Petualang Mamalik
~ Sultan Saifuddin Qutuz, pidato ketika ekspidisi jihad Mamalik
bertolak dari Mesir~[17]
Runtuhnya kota Baghdad dan lenyapnya Kekhalifahan Abasiyah yang merupakan simbol penyatu dan kekuatan umat Islam memberikan tamparan hebat buat kaum Muslimin. Bangsa Mongol telah mencapai sesuatu yang kaum Salib (Eropah)[18] tidak dapat capai dalam Perang Salib yang lepas menghancurkan Kekhalifahan kaum Muslimin.
Di kala itu hanya tinggal satu harapan sahaja buat umat Islam: iaitu kerajaan Daulah Dinasti Mamalik[19] di Mesir. Daulah Dinasti Ayyubiyah[20] yang dipimpin Raja al-Malik an-Nashir yang merentangi Mesir sehinggalah ke Syam runtuh dengan tertawannya kota-kota besar seperti Damsyik dan Aleppo. Malah raja yang lemah itu telah dikhianati dan dibunuh dengan kejam oleh Mongol.
Ketika Mongol semakin menghampiri ke perbatasan kaum Muslimin di Mesir, mereka telah menjalankan persediaan yang rapi. Kepimpinan pada era tersebut dipikul oleh sorang raja yang soleh, iaitu Sultan Al-Muzaffar Saifuddin Qutuz. Berkat keimanan yang teguh, beliau menyatukan rakyatnya, bersandar kepada para ulama dan teguh berdiri gagah menghadapi kaum Mongol di kemuncak kebuasan kekuasaannya.
Akhirnya Allah telah memenangkan mereka di
Perang Ain Jalut[21] pada 24 Ramadhan 658 Hijrah atau 3 September 1260[22].
Tarikh keramat tersebut berlaku hanya selepas dua tahun tragedi Baghdad 1258. Pengarang
berpendapat bahawa perang tersebut merupakan titik bersejarah di dunia. Sejak
itulah Mongol telah hilang kewibawaannya dan ditewaskan satu persatu setelah
itu. Justeru terpecahlah mitos bahawa gerombolan Mongol adalah sosok yang tidak
bisa terkalahkan.
Iktibar
“Membaca sejarah akan menambah umur pembacanya dari
umur-umur yang telah dilalui oleh sejarah yang dibacanya, dan sangat baik untuk
dijadikan referensi...[23]”
~ Prof. Dr. Ali Muhammad Shallabi,
Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol~
Ulasan peribadi saya dirumuskan daripada buku ini:
1. Membaca buku ini sepertinya amat mirip dengan keadaan kita sekarang. Umat umumnya jauh dari agama, menatijahkan kesan buruk yang lain.
Penutup
Sudah lama tidak mengarang seperti kali ini, bertahun-tahun rasanya. Maaf biasanya review dirumus secara padat, tetapi kerinduan menulis itu menerpa kembali. Sengaja menulis pada hari ini untuk menahan kantuk selepas Subuh. Kerana Nabi s.a.w mengatakan tidak berkat rezeki orang yang tidur selepas Subuh.Syukur Ramadhan telah pun tiba, tahun kedua dengan norma baharu.
Tambahan lagi saya rasa jika tidak kerana asbab kuarantin, tidak dapat
menyelesaikan pembacaan buku yang bermakna ini.
Bersamalah kita berikhtiar untuk menyebarkan kebaikan,
ilmu dan masyarakat yang sedang nazak ini. Moga Allah pandang usaha kita yang
tidak seberapa dan menurunkan Rahmat-Nya buat kita. Mungkin kita tidak sempat
menuai hasilnya. Mungkin kita telah menanam benihnya yang akan dituai oleh
generasi kita beberapa berdekad malah berabad-abad akan datang. Walaupun kita
dah di dalam kubur, moga pahala tetap subur. Amiin
Catatan Subuh ke Duha Kuarantin Hari ke-14 2 Ramadhan 1442H / 14 April 2021
[1]
Salah satu tanda besar Hari Kiamat adalah keluarnya bangsa buas keturunan Nabi Adam
a.s yang sifatnya seperti kaum Mongol. Bangsa Yakjuj dan Makjuj menghancurkan
apa sahaja yang ada dalam laluan perjalanan mereka. Bangsa bengis ini disebut
oleh Allah S.W.T dalam al-Quran beberapa kali. Yang paling masyhur adalah
seorang raja yang adil dan beriman, Raja Zulqarnain. Raja tersebut berhadapan
dengan mereka dan mengurung mereka di antara gunung dan tembok besi yang
dibinanya sebagaimana yang dikisahkan oleh Allah dalam Surah al-Kahfi.
[2] Buku ini harganya di Semenanjung Malaysia purata RM100 pada 2020. Namun dengan platform Shopee, buku cetakan dari Indonesia ini dapat dibeli langsung daripada pembekal Indonesia, menjadikan harganya lebih murah walaupun mengambil masa tempoh penghantaran.
[4] Masjid Temerloh Jaya terkenal di seluruh Malaysia dengan jemaahnya yang ramai memenuhi masjid. Terlebih istimewa adalah jumlah jemaahnya pada waktu Subuh juga sangat ramai. Suasana belia dan remaja yang hadir ke masjid adalah suatu lumrah dan begitu sejuk mata memandang. Kami serombongan dari Miri telah ke sana untuk belajar menghidupkan suasana. Kehadiran Putera Mahkota Sultan Pahang, Tengku Hassanal pada waktu Subuh menambah keterujaan kami berada di sana.
[5] Buku novel fiksyen sejarah yang dikarang
oleh Abdul Latip Talip, terbitan PTS Publishers.
Meskipun zaman moden ini kita kenal sebagai bangsa
Uzbekistan atau Turki, nampun mereka tetap bersusur galur kepada nenek moyang,
adat resam yang hampir sama, iaitu rumpun Kaum Turki yang bersusur galur dari
Asia Tengah.
[7]
Dinyatakan dalam buku Atlas of Islamic History (2014) m/s 33 dipaparkan wilayah
kekuasaan Daulah al-Khawarizmi. Buku tersebut adalah dikarang dan grafik peta
menarik oleh Peter Sluglett dan Andrew Currie. Terbitan Routledge – Taylor Francis
Group.
[8]
Seorang pengembara agung Muslim yang berasal dari Fez, di Maghribi. Asalnya
beliau berkeinginan untuk mengerjakan Haji di Mekah dan menziarahi Madinah.
Akan tetapi ditakdirkan perjalanannya telah berlanjutan selama 29 tahun
merentas wilayah umat Islam timur dan barat. Pengembaraan yang amat menarik,
menggambarkan zaman tersebut banyaknya orang soleh di serata tempat. Pembaca
boleh menatap karya terjemahan Pengembaraan ibnu Battutah keluaran Institut
Kemahiran Islam Malaysia. Sewaktu zaman belajar dahulu mahu tidak mahu kena
membeli jilid kulit tebal, harganya agak mahal. Kini terdapat siri jilid yang
memudahkan pembaca untuk memilikinya.
[10] Syam
kini di kawasan negara moden Syria dan Jordan.
[11] Anatolia dikenal sebagai Asia Kecil. Kini adalah di kawasan Turki moden.
[12] Ibid, m/s 235- 236.
[13] Seorang menteri yang mempengaruhi Khalifah al-Musta’shim Billah yang lemah. Justeru melemahkan pertahanan Kekhalifahan Abasiyah. Seorang yang telah bermuafakat dengan Hulagu Khan yang menyebabkan pintu kota Baghdad terbuka luas dijarah tentera Mongol.
[16] Ibid, m/s 355-357.
[18]
Kesan langsung daripada kemenangan
tentera Daulah Saljuk Raya oleh Sultan Alparselan di Manzikert pada 1071 telah
mencetuskan Perang Salib kira-kira 20 tahun kemudian. Perpecahan dan kelemahan politik
umat Islam ketika itu begitu menggusarkan sehinggakan mereka tidak dapat
menahan asakan ekspidisi Perang Salib Pertama. Kota Baitulmaqdis atau Jerusalem
yang merupakan kota suci umat Islam, Kristian dan Yahudi telah dibantai oleh
pasukan Salib pada 1099. Perang ini berlanjutan selama 200 tahun dan pendudukan
kerajaan Salib Latin di Palestin telah diakhiri oleh tentera Mamalik dengan
terusirnya pasukan Salib dari kota Acre pada 1290 (30 tahun setelah Perang Ain
Jalut).
[20] Rentetan daripada jihad yang dilancarkan oleh penguasa-penguasa p ada era awal Perang Salib Pertama, munculnya seorang bintang berbangsa Kurdi. Beliau adalah Sultan Salahuddin al-Ayyubi atau digelar oleh Barat sebagai Saladin. Menurut pengarang buku tersebut, Sultan Salahuddin terlalu sibuk dengan jihad sewaktu hidupnya tanpa sempat untuk menyusun pentadbiran yang kukuh. Tanpa landasan lembaga pemerintahan yang kukuh selepas kewafatannya, waris-warisnya berbeza dengan beliau dan menjadi lemah.
[21] Dikatakan Perang Ain Jalut amat simbolik kerana berlaku pada bulan Ramadhan (Rasulullah s.a.w menewaskan kafir Quraisy dalam Perang Badar pada Ramadhan 2 Hijrah) dan juga dikatakan tempat Nabi Daud alaihissalam bersama Raja Thalut menewaskan Raja Jalut di Palestin. Kisah agung ini diceritakan dalam Surah al-Baqarah Juzuk 2 ayat
[22] Setelah kalah di Perang Ain Jalut pada 1260, khabar tersebut telah menyebabkan pukulan hebat kepada Hulagu. Pada masa yang sama, Khan tersebut tidak dapat menyerang balas pasukan Mamalik dengan ofensif besar-besaran kerana menghadapi tentangan daripada saudaranya sendiri, iaitu Berke Khan. Berke Khan yang telah memeluk Islam bersengketa dengan Hulagu Khan dan melancarkan serangan atasnya. Salau satu punca Berke Khan memerangi Hulagu Khan adalah kerana pembantaiannya atas Kota Baghdad pada 1258.
[23] Ibid, m/s 25.